Salam Sejahtera !
saya adalah pengasas dan peneraju utama K-Production, syarikat produksi video yang berpusat di Kuala Terengganu. Sebagai pengasas, saya bertanggungjawab untuk mengarahkan visi syarikat dan memastikan bahawa setiap projek yang dihasilkan oleh K-Production memenuhi standard kualiti yang tinggi. Saya juga berperanan sebagai pemimpin dalam pembangunan kreativiti, pemasaran, dan kerjasama dengan pelbagai syarikat dari pelbagai industri.
Siapakah saya?
Saya Ahmad Syakir Bin Jusoh, anak jati Terengganu yang berkecimpung dalam dunia seni videografi, fotografi, sinematografi, muzik, dan pemasaran sejak zaman persekolahan. Minat mendalam dalam bidang ini telah menjadikan saya individu yang sering dipanggil untuk mengendalikan acara-acara penting di sekolah seperti Hari Guru, Hari Pesara Guru, serta persembahan akustik dan nasyid. Saya juga berperanan sebagai guru yang mengajar rakan-rakan dalam bermain alat muzik seperti percussions dan kompang.
Selain itu, saya aktif dalam menghasilkan video, membuat slide, dan berkongsi ilmu penyuntingan video dengan guru-guru kerana saya percaya bahawa ilmu tidak seharusnya disimpan sendiri, tetapi perlu dikongsi untuk manfaat bersama. Walaupun saya tidak memiliki latar belakang formal dalam bidang IT atau Grafik Berkomputer, saya yakin bahawa kemahiran yang saya miliki adalah hasil daripada usaha gigih dan kurniaan Allah SWT.
Pada waktu itu, saya sering menghasilkan filem pendek yang saya kongsikan dengan rakan-rakan sekolah. Minat ini kemudiannya berkembang sehingga saya menubuhkan pasukan sendiri dan mula menghasilkan kandungan untuk YouTube, yang akhirnya membawa pulangan kewangan. Dari situ, video-video saya mula mendapat perhatian dan menjadi viral, menarik minat pelbagai syarikat untuk meminta saya menghasilkan filem pendek serta mempromosikan produk mereka.
Walaupun pada ketika itu saya berdepan dengan kekurangan kelengkapan, saya percaya bahawa dengan kreativiti dan kerajinan, saya mampu mencapai hasil yang berkualiti. Kini, saya telah mengasaskan K-Production, sebuah syarikat produksi video yang berpusat di Kuala Terengganu. Kami mengkhususkan diri dalam pelbagai aspek industri kreatif seperti video korporat, komersial, muzik, acara, dan pemasaran digital. Dengan pasukan yang dedikasi, kami terus mencipta kandungan berkualiti tinggi yang membantu syarikat-syarikat mencapai matlamat mereka dalam pemasaran dan promosi.
Sebagai peneraju K-Production, saya juga aktif dalam membina kerjasama dengan pelbagai syarikat dalam industri automotif, makanan, kecantikan, dan kesihatan, sambil terus meneroka dan menghasilkan karya-karya seni yang membawa impak kepada masyarakat.